Ulasan Ringkas Isu Penghakiman Anak Tidak Sah Taraf

Ulasan Ringkas Isu Penghakiman Anak Tidak Sah Taraf

Ada beberapa perkara yang boleh diulas susulan penghakiman Mahkamah Rayuan minggu lalu yang memutuskan anak tidak sah taraf (ATST) atau anak luar nikah (ALN) boleh dibinkan kepada bapa biologinya. Ia turut menimbulkan kembali polemik seputar kontroversi fatwa negeri Perlis dalam isu yang sama beberapa tahun lalu. Saya ringkaskan sahaja dalam beberapa point berikut:

1. Dilema Dualisme Perundangan Yang Berterusan

Utk kesekian kalinya berlaku lagi konflik perundangan antara Syariah dan Sivil. Isu penasaban ALN adalah isu syariah yg terkait isu sivil kerana melibatkan peraturan pendaftaran. Fatwa Kebangsaan yg dirujuk oleh pihak pendaftaran pula dilihat tidak mempunyai nilai perundangan. Di sinilah wujudnya lakuna yg menyebabkan perundangan sivil mengisi tempatnya.

Dalam kertas penghakiman berjumlah 92 paragraf itu, para hakim juga menolak relevensi seksyen 111 Enakmen Keluarga Islam Johor dengan kes ini kerana klausa tersebut hanya menyatakan nasab anak yang lahir selepas 6 bulan Qamariah dari tarikh perkahwinan, tetapi tidak menyebut tentang nasab anak yg lahir kurang dari tempoh tersebut (para 80). Malah seksyen tersebut juga tidak menyebut tentang perlunya membinkan anak TST itu kepada Abdullah (para 81).

Justeru para hakim mengutamakan seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) dan memutuskan bahawa bidangkuasa KP JPN adalah sivil. Oleh kerana keperluan seksyen berkenaan telah dipenuhi, iaitu wujud permintaan dari individu yg didaftarkan sebagai bapa kepada anak TST berkenaan, maka anak TST tersebut dibenarkan utk dibinkan kepadanya.

Dalam kes ini kita melihat banyak kelompongan undang-undang syariah yang boleh dicabar dengan undang-undang sivil. Sebaiknya, negara kita yg dinobat sebagai negara Islam contoh dan telah 60 tahun merdeka, konflik perundangan syariah dan sivil dapat diselesaikan secara harmoni. Negara kita tidak kurang pakar perundangan sivil dan syariah Muslim yang berkemampuan utk menyelesaikan isu dualisme perundangan ini secara lunak dan objektif. Jadi, bukan isu tiada kepakaran, tetapi mungkin isu kekurangan political will.

Berbalik kpd isu ATST ini, dicadangkan supaya intipati fatwa berhubung ATST tahun 1981 dan 2003 serta garis panduan penamaan dan kedudukan anak TST (1998) diimasukkan dalam klausa-klausa Enakmen/ Akta Keluarga Islam di setiap negeri (kecuali Perlis yg ada fatwa yg bertentangan). Ini kerana klausa yg ada tidak jelas dan tertakluk kpd pelbagai tafsiran sbgmana yg berlaku dlm kes ini, dan akan memberi nilai dan kuasa perundangan kepada fatwa berkenaan.

Cadangan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia supaya pindaan dibuat terhadap seksyen 13A (2) BDRA dengan memasukkan pengecualian terhadap pasangan Muslim amatlah disokong. Ini kerana isu penasaban adalah isu kekeluargaan Islam yg perlu merujuk kepada perundangan Islam secara spesifik.

2. Mendahulukan Maslahah ‘Ammah dari Maslahah Khassah

Islam amat menitik beratkan penjagaan nasab sehingga ia diletakkan sbg satu dari perkara daruriyyat yg lima – Hifz al-Nasal – kerana ia merupakan salah satu asas kemuliaan insan. Ia juga adalah punca kuasa bagi hak-haknya yg lain spt hak penjagaan, nafkah, pewarisan, pewalian dsb. Justeru, dlm Islam nasab seseorang individu mesti jelas.
Bagi menjaga maslahah penjagaan nasab ini, maka diharamkan zina, qazaf, membinkan anak angkat kepada penjaga, menasabkan anak zina kepada org yg tidak sepatutnya, dan disyariatkan ‘iddah bagi wanita yg diceraikan atau kematian suami. Semuanya utk mengelak kecelaruan nasab dan hak. Ini adalah maslahah umum bagi ummah.

Adapun tentang isu menasabkan ATST kepada bapa biologinya yg berkahwin kurang dari 6 bulan Qamariah, walaupun berlaku khilaf dalam kalangan fuqaha, boleh dikatakan hampir 99% fuqaha (anggaran kasar) tidak mengharuskannya, dan hanya 1% sahaja yg mengharuskannya spt sbhg tabi’in, Ibn Taymiyah, Ibn al-Qayyim dan beberapa ulama kontemporari. Ini kerana menjaga maslahah ‘ammah umat Islam keseluruhannya iaitu memelihara kemuliaan nasab umat Islam lebih perlu diutamakan dari maslahah khassah peribadi ATST, iaitu menjaga maruah, air muka, mengelak rasa rendah diri dsb.

Para fuqaha telah mempertimbangkan kedua-dua maslahah dan majoriti memperakukan yg pertama krn ia lebih perlu diutamakan. Bukan kerana Islam tidak mengiktiraf maslahah golongan ATST, tetapi maslahah ummah lebih utama. Mahkamah mungkin tidak mengambilkira perkara ini dan membuat keputusan berdasarkan argumentasi teknikaliti undang-undang dan dalam bidangkuasa sivil.

3. Pertimbangan I’tibar Akhaffu al-Dararayan dan Sadd al-Zari’ah

Membenarkan amalan membinkan ATST dengan bapa biologi yg berkahwin dalam tempoh kurang dari 6 bulan Qamariah boleh menyebabkan darar (kebinasaan) yg besar dan membuka ruang-ruang kerosakan yang pelbagai. Bayangkan seorang lelaki yg baru berkahwin 5 bulan, 3 bulan, sebulan atau sehari sebelum lahirnya ATST dibenarkan dibinkan kepadanya, akan rosaklah nasab umat Islam. Risiko meningkatnya perzinaan pun akan berlaku kerana peraturan nasab yang sangat longgar. Sesiapa pun mungkin boleh diupah menjadi pak sanggup utk sekadar meletakkan bin kpd ATST dan kemudian bercerai setelah maksud tercapai.

Amalan sebegini juga jika dibenarkan akan membawa kpd pertelagahan tentang pelbagai isu spt hadanah dan nafkah, dan bila si bapa mati, ini akan menyebabkan kecelaruan pewarisan dan perwalian nikah. Itu belum masuk isu mahram, penjagaan aurat dsb. Si anak yg terkeliru akan mempertahankan “hak-haknya” krn menyangka ia adalah anak yg sah. Semua akan menjadi cacamerba dan ini merosak dan meruntuhkan institusi keluarga. Ibarat membuka pandora box.

Darar yg mungkin terhasil jika tidak dibenarkan ATST dibinkan kpd bapa biologinya adalah lebih ringan, krn mungkin hanya akan menyebabkan tekanan emosi sementara yg boleh diselesaikan dengan pelbagai kaedah lain. Malah, jika dibenarkan amalan membinkan kpd bapa segera ini, ia akan merosakkan emosi ATST dengan lebih serius. Bayangkan seorg anak perempuan TST dibintikan kpd bapa biologinya, tetapi bila mahu berkahwin baru diketahui bahawa dia adalah anak TST selepas bapanya tidak boleh mewalikannya.. Bayangkan pula situasi jika selama bapanya hidup perkara sebenar tidak diterangkan kpd anak tersebut, tiba-tiba apabila bapanya meninggal dunia barulah statusnya sbg ATST diketahui krn dia dihalang dari mewarisi harta bapanya. Bukankah ini lebih mendatangkan mudarat yg besar?
Justeru, fatwa yg dikeluarkan ttg isu ini telah mengambilkira situasi sebegini. Ruang dan jalan yg membawa kerosakan kepada institusi keluarga dan ummah perlulah disekat.

4. Collateral Damage Yang Tidak Dapat Dielakkan

Dalam membuat sesuatu keputusan besar sebegini, fuqaha telah mempertimbangkan pelbagai aspek maslahah mafsadahnya. Dalam isu ATST ini, kelihatan seolah anak tersebut menjadi mangsa. Ya memang dari satu aspek dia seolah menjadi mangsa keadaan akibat keterlanjuran dan singkat akal ibu bapanya yg berzina. Atau dia mungkin terhasil dari perbuatan jenayah rogol yg mana ibunya pun menjadi mangsa. Dalam isu sebegini, memang akan ada individu yg menjadi “mangsa” tanpa kerelaannya. Namun demikian, dalam Islam anak ini adalah suci dan tidak menanggung dosa silam ibu bapanya. Dia mempunyai hak-hak sebagaimana insan lain. Cuma haknya sedikit tersekat krn statusnya yg bukan menjadi kehendaknya.

Setiap insan yg lahir ke dunia ini ada taqdir tersendiri. Ada yg kurang upaya, ada yg tiada ibu bapa, ada yg kurang dan lebih di sana sini. Kehidupan itu sendiri adalah ujian.. Setiap saat kesabaran atas apa juga ujian ada ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT. Tekanan emosi, rasa teraib, rendah diri dsb boleh melanda sesiapa sahaja bukan ATST sahaja. Ada musibah yg melanda bukan berpunca dari kita, tetapi kita terpaksa menanggung akibatnya. Ada kenderaan langgar kita, sbg cth, menyebabkan kita menjadi orang kurang upaya, kita menjadi mangsa. Tetapi kita kena hadapinya sebagai satu ujian dari Allah. Kecuaian org lain menyebabkan kita merana..

Contoh lain, dlm mempertahankan agama, disyariatkan peperangan yg kan melibatkan pertumpahan darah, kehilangan nyawa, harta benda dsb, tetapi kita kena hadapi juga krn tuntutan mempertahankan agama. Inilah collateral damage yg kita kena terima. Ada kemusnahan yg berlaku disebabkan ada matlamat yg lebih besar utk dicapai. Inilah satu hakikat ujian dan pengorbanan yg besar demi mempertahankan kesucian nasab.

5. Keperluan Anjakan Persepsi Masyarakat

Islam berpaksi di atas prinsip keadilan. ATST tidak sepatutnya menjadi mangsa dan menerima hukuman persepsi negatif masyarakat. Mereka perlu hidup dalam situasi kondusif dari segi emosi. Memandang rendah, mengaib dan memperlekeh golongan ATST bukan akhlak Islam dan bukan budaya orang bertamadun. Setiap jiwa dan nyawa insan adalah mulia dan tidak ternilai di sisi Allah SWT juga di sisi undang-undang. Jadi mengapa mereka perlu menghadapi persepsi negatif sebegini?

Masyarakat sepatutnya menghamburkan simpati, ihsan, membantu, membimbing dan menjadi pendorong mereka ke arah kebaikan bukan mengeruhkan keadaan. Justeru, perlu ada anjakan persepsi masyarakat terhadap golongan ATST ini. Jika ini dapat diubah, banyak masalah selesai. Masalah tekanan emosi, rendah diri dsb ini berpunca dari masyarakat. Jadi, masyarakatlah yg bersalah, bukannya ATST.

6. Fatwa Perlis vs Enakmen Keluarga Islam Perlis vs Peraturan JPN

Di Perlis, fatwa yg dikeluarkan pada 2008 (diwartakan 2013) menegaskan anak yg lahir bawah 6 bulan selepas ibunya berkahwin boleh dibinkan kepada suami ibunya kecuali dinafikan oleh si suami. Fatwa ini di samping tidak selari dengan fatwa kebangsaan dan fatwa-fatwa negeri lain, ia kelihatan bertentangan dengan Enakmen Keluarga Islam Perlis sendiri, dlm seksyen 111 yg memperuntukkan bahawa anak yg lahir selepas 6 bulan Qamariah dari tarikh perkahwinan ibunya, maka lelaki itu disifatkan bapa kepada anak tersebut.

Fatwa ini juga bertentangan dengan dengan peraturan JPN yg menerima pakai fatwa kebangsaan dan garis panduan tentang penamaan ATST. Justeru, dengan penuh penghormatan kpd fatwa yg telah diwartakan tersebut, kita tidak melihat sejauh manakah fatwa ini dapat dan telah dilaksanakan. Saya tidak pasti sejauh manakah seriusnya isu ATST di Perlis sehingga fatwa tersebut dikeluarkan.Bagaimanapun, ruh fatwa ini saya kira telah terserlah dalam kenyataan penghakiman dalam kes yg dibincangkan ini.

Jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan ini Mahkamah Rayuan ini, ia bakal mencetuskan konflik perundangan yg lebih parah serta menimbulkan polemik baru yg sukar ditangani. Saya kira fatwa ini mungkin hanya melihat kepada ATST dan keluarganya sahaja tanpa mengambilkira maslahah ummah secara umum sebagaimana yg dihurai di atas. Ia juga bersifat penyelesaian secara sementara bagi menangani isu ATST, bukan penyelesaian holistik terhadap masalah perzinaan dan “lambakan” ATST.

Fatwa seharusnya mendidik masyarakat supaya menjauhi zina dan waspada dengan risiko zina yg akibatnya kekal dalam jangka masa panjang dan melibatkan generasi anak-anak. Jika fatwa membenarkan ATST dibinkan kpd bapa segeranya, risiko berlakunya zina mungkin akan bertambah kerana adanya sistem yang “menyokong” akibatnya.

6. 6 Bulan 2 Lahzah: 180 Hari atau Kiraan Semasa?

Ada fatwa di beberapa buah negeri yang menyebut bahawa kiraan 6 bulan 2 lahzah bagi pengiraan tempoh kandungan ATST itu merujuk kepada bilangan genap 180 hari. Tafsiran ini ada risikonya kerana tidak mengambilkira kiraan semasa. Kiraan berdasarkan takwim semasa biasanya akan kurang dari 180 hari krn kalendar Hijri atau Qamari bukanlah 30 hari setiap bulan, sebaliknya bergantung kpd cerapan hilal atau imkanur ru’yah. Biasanya akan berlaku berselang, sebulan 30, sebulan 29. Sangat jarang berlaku bilangan bulan 30 hari untuk 6 bulan berturut-turut. Justeru, jika kiraan semasa tidak diambil kira dan hanya bilangan 180 hari yg diterima pakai, ia akan menjejaskan peluang anak berkenaan untuk menjadi anak sah taraf. Ini kerana bilangan hari bulan Qamariah semasa ialah dalam 175 hingga 179 hari sahaja berdasarkan takwim semasa. 180 hari adalah maksimum dan jarang berlaku.

Walaupun pengiraan hari bagi hitungan 6 bulan Qamariah ialah 180 hari, dalam mazhab Maliki, bilangan yg diambilkira adalah 175 hari. Justeru, dicadangkan supaya penetapan tempoh 6 bulan 2 lahzah mengambilkira kalendar semasa, dan jika bilangan hari diambikira, ia hendaklah dalam julat 175 hingga 180 hari. Ini boleh memberikan peluang bagi anak yang lahir dalam tempoh sipi-sipi (kurang 180 hari, lebih dari 174) didaftar sebagai anak yang sah taraf.

Semoga ada ruang penyelesaian yang tuntas utk isu ini.
Allah al-Musta’an

DSM
7 Zulkaedah 1438
31 Julai 2017

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here