Tenangnya Datuk Abu Hassan Din Menerima Pemergian Dato Haron Din

Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz memegang gambarnya bersama Dato' Dr. Haron Din semasa Dato' Dr. Haron Din ingin membina masjid di Perlis

Allah, cukup tenang beliau (Datuk Abu Hassan Din) menerima pemergian (kematian) Dato’ Dr. Haron Din. Senyuman yang terlukis di wajahnya, gambaran tiada satu pun kedut kerisauan mengenai abangnya yang telah berpindah ke alam barzakh.

Perkongsian dari wartawan Berita kami syafiq Azman.

#Repost @syaafix

Adinda kepada Allahyarham Datuk Dr. #HaronDin, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz. Ketika menemu ramah beliau mengenai sisi kehidupan DDHD (Dato’ Dr. Haron Din) sebagai seorang abang, saya jangkakan akan ada air mata yang tumpah.

Sedang saya sendiri agak sukar menyusun kata-kata. Sudah pasti jika ada air matanya yang gugur, ia sesuatu yang ‘mahal’ dalam visual yang kami rakamkan. DAHD (Datuk Abu Hassan Di al-Hafiz) tampak tenang dan tersenyum.

Dia yakin dan pasti, abangnya berada di tempat yang lebih baik Insya Allah. “Kami dapat berita kematiannya pada pagi itu, di sana (San Francisco) hari Khamis sudah masuk waktu Maghrib. Maksudnya sudah masuk malam Jumaat.

Kata nabi, sesiapa yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat, akan terlepas seksa kubur”, kata DAHD sambil mengukir senyuman. “Lihat sahaja di Malaysia, berapa ramai yang solat jenazah ghaib dan doakan dia? Insya Allah, dia lebih baik di sana (alam barzakh)”, tambahnya lagi.

Begitu tenang beliau menutur kata-kata. Pelbagai soalan saya lontarkan agar hatinya terusik dan menangis. Soalan demi soalan. DAHD terus tenang dan senyum. Saya kira, dalam hatinya pasti terselit sedikit kekesalan kerana tidak dapat melihat wajah abangnya buat kali terakhir.

Saya cuba memancing air matanya dengan usaha terakhir. Last resort. Sekeping gambar saya keluarkan dari fail. Gambar DDHD membonceng DAHD dengan basikal. Saya yakin, air matanya akan tumpah apabila melihat gambar ini! Tapi saya silap sekali lagi. Beliau mengambil gambar itu sambil tergelak kecil.

“Oh, ni gambar 3-4 tahun lepas. Ketika majlis allahyarham nak bina masjid baru di Perlis. Ada 5-6 buah masjid juga dia bina. Gambar ni… larat juga dia bawa saya naik basikal. Cuma kena tukar gear rendah, maklumlah, adiknya lebih berisi.”

Allah, cukup tenang beliau menerima pemergian DDHD. Senyuman yang terlukis di wajahnya, gambaran tiada satu pun kedut kerisauan mengenai abangnya yang telah berpindah ke alam barzakh. Selepas sesi itu, dalam perjalanan pulang, jurukamera yang bersama saya @sirmeram menegur, “Agaknya begini orang kuat iman menerima kematian.” Saya pula yang sedih mengingatkan iman sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here