Syiah Houthi Serang Wilayah Mekah, Sasar Pengkalan Tentera Taif

Syiah Houthi Serang Wilayah Mekah, Sasar Pengkalan Tentera Taif

SANAA, 10 Muharram 1438H, Selasa – Serangan peluru berpandu balistik oleh militan Syiah Houthi ke atas pengkalan tentera King Fahd di Taif yang terletak di dalam wilayah Mekah, tidak menyebabkan kemusnahan besar atau kehilangan nyawa, kata pegawai kanan tentera Arab Saudi.

Televisyen Arab Saudi turut menyiarkan klip video yang menunjukkan apa yang kelihatan seperti pendaratan peluru berpandu di Taif, lewat malam kelmarin.

Serangan di Taif yang turut menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) itu adalah jarak paling jauh pernah dilancarkan militan Syiah Houthi terhadap Arab Saudi iaitu kira-kira 520 kilometer di luar sempadan Yaman.

Semalam, Arab Saudi turut memintas peluru berpandu balistik di bandar Marib di Yaman.

Pada hari yang sama, dua kapal pemusnah tentera laut AS turut diserang dengan peluru berpandu di Selat Bab el-Mandeb, tetapi tidak mendatangkan kemusnahan atau kehilangan nyawa.

Arab Saudi dan AS menyalahkan Iran kerana membekalkan senjata kepada militan Houthi. Tehran memandang Houthi, salah satu kumpulan mazhab Syiah, sebagai pihak yang berkuasa secara sah di Yaman, tetapi menafikan membekal senjata.

Mac tahun lalu, 10 negara Arab, termasuk anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang membentuk pakatan tentera memulakan serangan di Yaman bagi menghalau militan Syiah Houthi yang cuba menggulingkan Presiden Abedrabbu Mansour Hadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here