Rasulullah SAW Bukan Ayah Mana-Mana Lelaki?

"Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) MENJADI BAPA YANG SEBENAR BAGI SESEORANG DARI ORANG LELAKI KAMU, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (al-Ahzab [33:40])."

Rasulullah SAW Bukan Ayah Mana-Mana Lelaki

Apa maksud Rasulullah SAW bukan ayah mana-mana lelaki?

Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Ahzab [33:40]) pada 10 Oktober 2014. Antara isunya adalah percanggahan fakta penafian Rasulullah bukan ayah mana-mana lelaki sedangkan baginda memiliki beberapa anak lelaki seperti Tayyib, Qasim, Tahir dan Ibrahim. Firman Allah:

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Ertinya: Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) MENJADI BAPA YANG SEBENAR BAGI SESEORANG DARI ORANG LELAKI KAMU, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (al-Ahzab [33:40]).

Untuk memahami SIYAQ/KONTEKS sebenar sesuatu ayat al-Quran kita PERLU melihat sesuatu mesej yang mahu disampaikan Allah secara menyeluruh (melihat ayat selepas atau sebelum). Sebelum ayat di atas diturunkan, Allah mengisahkan perkahwinan terancang antara Zayd bin Harithah (anak angkat Rasulullah SAW) dengan Zaynab binti Jahsy (sepupu baginda dari ibu saudaranya Umaymah binti Abdul Mutalib). Selepas mereka berkahwin dan bercerai, Allah mengahwinkan Rasulullah SAW terus dengan Zaynab dengan tujuan MEMBATALKAN ADAT ARAB JAHILIAH YANG MENGHARAMKAN PERKAHWINAN DENGAN BEKAS ISTERI ANAK ANGKAT.

Walaupun Zayd berstatus anak angkat, beliau tetap tidak sama dengan status anak sebenar. Isterinya tetap boleh dikahwini oleh Rasulullah. Sebab inilah Allah menjelaskan bahawa Rasulullah bukanlah ayah kepada mana-mana lelaki di antara umat Islam SEPERTI ZAYD.

Lalu orang bertanya, apa status 4 anak lelaki baginda SAW seperti Tayyib, Qasim, Tahir dan Ibrahim? Jawapannya mudah, mereka bertiga memang anak lelaki Rasulullah (yang berstatus KANAK-KANAK dan BUKANNYA LELAKI DEWASA SEPERTI ZAYD kerana mereka bertiga belum baligh ketika mereka meninggal dunia). Perkataan “RIJALIKUM” dalam ayat 40 di atas merujuk kepada “LELAKI DEWASA” dan bukannya “KANAK-KANAK LELAKI.”

Ini antara bukti kepentingan memahami SIYAQ (KONTEKS) sebenar sesuatu ayat al-Quran dan memahami BAHASA ARAB agar kita tidak tersalah memahami sesuatu ayat. Maha suci Allah yang menurunkan al-Quran dalam bahasa terbaik (bahasa Arab).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here