Kedudukan Anak Tidak Sah Taraf Menurut Undang-Undang Malaysia

Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Julai 2017 yang membenarkan seseorang anak yang tidak sah taraf dibinkan kepada bapa biologi telah menimbulkan polemik kerana mengikut pandangan majoriti mazhab dalam Islam, seseorang anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan qamariah tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa biologi anak tersebut dan hendaklah dibin atau dibintikan nama anak kepada Abdullah atau salah satu nama-nama asma ulhusna (nama-nama Allah).

Memang terdapat kebaikan membinkan anak tidak sah taraf kepada bapa biologi seperti ia dapat mengelak aib, rasa malu dan rasa rendah diri anak tersebut bahawa ia adalah anak luar nikah mengambil prinsip maslahah (kebaikan). Tetapi ia juga banyak membawa kepada keburukan (mafsadah). Persoalan nasab (keturunan), wali perkahwinan dan harta pusaka merupakan beberapa persoalan hukum penting yang tidak boleh dipisahkan apabila membincangkan kedudukan anak tidak sah taraf.

Mengikut undang-undang keluarga Islam di Malaysia, Mahkamah Syariah merupakan forum yang layak untuk menentukan kesahihan seseorang anak sama ada ianya anak sah taraf atau anak tidak sah taraf. Sebagai contoh, seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 2002 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 serta seksyen 110 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa seseorang anak itu hendaklah disifatkan sebagai anak kepada bapa yang perkahwinan dengan wanita tersebut melebihi enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan.

Isu timbul apabila pihak yang membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan baru-baru ini memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membinkan nama anak kepada bapa biologi yang kurang dari enam bulan qamariah.

Keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan dengan diketuai oleh YA Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan bahawa bidang kuasa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (KP JPN) adalah bersifat sivil dan terhad dalam menentukan sama ada ibu bapa yang memohon membin atau membintikan anak memenuhi peruntukan dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957.

Sayangnya, Mahkamah Rayuan hanya melihat kepada keperluan seksyen 13A(2) yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapa biologi tanpa mengira sama ada anak itu seorang Islam atau bukan Islam. Mahkamah Rayuan menganggap tindakan KP JPN tidak rasional kerana merujuk kepada fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam (MJFMKI). Bahkan Mahkamah Rayuan menganggap fatwa bukanlah undang-undang dan tidak mengikat dari segi undang-undang serta berpendapat bahawa fatwa hanya melibatkan pentadbiran hukum Islam dan tiada kaitan dengan bidang tugas KP JPN berdasarkan BDRA 1957 bagi mendaftarkan kelahiran dan kematian di Semenanjung Malaysia.

Dalam undang-undang Islam, seseorang anak yang dilahirkan melebihi enam bulan qamarian dari tarikh perkawinan ibubapanya dianggap sebagai anak sah taraf dan boleh dinasabkan kepada lelaki kepada suami ibu yang melahirkan anak tersebut. Justeru itu, ibubapa kepada anak tersebut mempunyai tanggungjawab ke atas anak tersebut dari segi perlindungan dan kebajikan.

Sekiranya seseorang anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan qamariah, ia tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologi tetapi hanya boleh dinasabkan kepada ibu yang melahirkannya sahaja. Justeru itu, tanggung jawab memberi perlindungan dan kebajikan bagi anak tidak sah taraf diserahkan kepada keluarga sebelah ibu sahaja.

Sebelum tahun 2009, amalan di JPN adalah tidak meletakkan nama bapa dalam sijil kelahiran anak walaupun lelaki atau suami wanita yang melahirkan anak tersebut mengaku bahawa anak tersebut adalah anaknya. JPN akan mengosongkan nama bapa dan mencatatkan “tidak diketahui” dibahagian maklumat bapa. Walau bagaimanapun amalan ini telah dibatalkan dengan pematuhan seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) [Akta 229] (Pekeliling JPN, 8/2009).

Seksyen 13A (1) BDRA memperuntukkan:

“Nama keluarga (surname), sekiranya hendak diletakkan ke atas anak sah taraf hendaklah sedemikian itu menjadi nama keluarga mengikut bapa”.

Manakala seksyen 13A(2) memperuntukkan:

“Nama keluarga (surname), sekiranya hendak diletakkan ke atas anak tidak sah taraf di mana ibunya yang melaporkan dan keterangan yang diberi itu adalah bersifat sukarela hendaklah mengikut nama keluarga ibu tersebut, dengan syarat seseorang itu memaklumkan bahawa dirinya adalah bapa kepada anak tersebut mengikut seksyen 13 memohon nama keluarga tersebut adalah mengikut nama keluarga orang tersebut (bapa)”.

Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa isu penting dalam kes yang dirayu oleh pihak perayu-perayu ialah memasukkan nama keluarga (surname) anak tidak sah taraf. Dengan penuh hormat, Mahkamah Rayuan berpendapat Hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf dengan tidak menimbangkan peruntukan penting yang terkandung dalam seksyen 13A BDRA 1957 tetapi dengan hanya merujuk kepada seksyen 13 BDRA 1957 yang memperuntukkan:

“Tiada seseorang pun sebagai bapa kepada kanak-kanak tersebut dikehendaki memberi maklumat berkenaan dengan kelahiran kanak-kanak tersebut, dan pendaftar hendaklah tidak mencatatkan mana-mana orang sebagai bapa kecuali di atas permintaan bersama oleh ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa kepada kanak-kanak itu. Mereka berdua haruslah menandatangani perjanjian itu bersama-sama”.

Menurut Mahkamah Rayuan lagi, peruntukan di atas secara jelas membenarkan nama seseorang yang mengaku bapa kepada anak tidak sah taraf untuk mendaftarkan nama bapa tersebut dengan syarat ibu kanak-kanak tersebut memberi persetujuan. Melihat kedua-dua ibu dan bapa biologi kanak-kanak tersebut bersetuju untuk mendaftarkan nama keluarga (nama bapa), Hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf dengan membenarkan JPN meletakkan perkataan “Abdullah” bagi nama bapa biologi kanak-kanak tersebut.

Bagi Mahkamah Rayuan, nama keluarga “Abdullah” tidak akan membawa kepada sebarang keaiban dan rasa malu seandainya nama perayu kedua (bapa biologi) adalah “Abdullah” atau perayu pertama (kanak-kanak) itu memeluk agama Islam. Hakikatnya, perayu pertama adalah seorang yang dilahirkan sebagai seorang Islam dan nama bapanya bukanlah “Abdullah”. Maka dengan merujuk kepada peruntukan seksyen 13A BDRA 1957, kanak-kanak itu boleh dibinkan dengan nama bapa biologi dan bukan “Abdullah”.

Keputusan kes ini mengundang bahawa seseorang anak tidak sah taraf dari pasangan Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapa biologi walaupun kurang enam bulan qamariah menyanggahi keputusan fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam (MJFMKI) bertarikh 25 Jun 1998 dan beberapa fatwa negeri-negeri seperti Negeri Sembilan (12 Januari 2002) dan Sarawak (6 September 2005) yang mensyaratkan nama bapa diletakkan selepas nama anak sah taraf dengan syarat anak itu lahir lebih dari enam bulan qamariah. Walau bagaimanapun, Perlis merupakan satu-satu negeri yang nampaknya selari dengan keputusan Mahkamah Rayuan di mana “anak yang lahir kurang dari enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh di suami”.

Memandangkan penghakiman ini boleh membawa kepada masalah ke atas anak tidak sah taraf yang beragama Islam, JPN, KP JPN dan Kerajaan Malaysia akan merayu kepada Mahkamah Persekutuan memohon penghakiman di Mahkamah Rayuan diketepikan.

Dua perkara utama yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan. Pertama: Seksyen 13A BDRA 1957 adalah bercanggah dengan undang-undang keluarga Islam negeri-negeri di mana penentuan seseorang anak yang boleh dinasabkan kepada bapa biologi adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Lagipun, seksyen 13A ini hendaklah tidak terpakai ke atas orang Islam.

Kedua: kecuali fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Islam (MJFMKI) yang hanya bersifat nasihat dan panduan, fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri apabila diwartakan adalah mengikat dari segi undang-undang ke atas orang Islam di negeri berkenaan. Memandangkan isu yang dibangkitkan dalam hal ini adalah berkaitan dengan undang-undang Islam, Mahkamah Rayuan telah khilaf mengatakan fatwa adalah bukan undang-undang dan JPN dan KP JPN adalah tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan.

Bagi pihak pemerintah dan penggubal undang-undang, adalah dicadangkan agar peruntukan dalam seksyen 13A BDRA 1957 dipinda dengan memasukkan peruntukan bahawa ia tidak terpakai ke atas orang Islam.

Akhir sekali, walaupun terdapat sesetengah pandangan ulama yang mengharuskan membin atau membintikan nama anak kepada bapa biologi yang tarikh perkahwinannya kurang dari enam bulan qamariah seperti yang dinukilkan oleh Ibn Qayyim mengambil padangan Ishaq Ibn Rahawih dan Hassan al-Basri, namun melihat kepada masalah dan mafsadah yang lebih besar daripada kebaikan (manfaah) yang lebih kecil, padangan majoriti ulama nampaknya lebih sesuai diterima pakai.

30 Julai 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here