Doktor Ini Kongsikan Pengalamannya Berhadapan Dengan Pesakit Mental

Sekadar gambar hiasan

Oleh: Dr. Nur Atikah Razali

Suatu hari, ketika oncall kira-kira jam 11 malam, seorang MA memanggil, “Doktor, ni ada satu kes psy (psikiatrik), polis bawa.”

Saya menuju ke ruang disebalik langsir, “Eh macam kenal.”

Sejurus melihat nama yang tertera di kad bahagian trauma dan kecemasan, saya menegur pesakit tersebut, “Assamualaikum Siti (bukan nama sebenar). Ingat saya lagi? Kita pernah jumpa dekat klinik sebelum ni.”

Pesakit berumur 18 tahun yang menghidapi penyakit schizophrenia itu mengangkat sedikit kepala, melihat saya tanpa sebarang ekspresi muka, dan tunduk kembali.

“Doktor, saya polis yang bawa adik ni, keluarga dia buat report polis cakap dia hilang dari pagi tadi, ni baru saya jumpa dekat deretan kedai dekat pekan,” seorang polis wanita berpangkat sarjan menerangkan.

Saya mula bertanya untuk mendapatkan “history”.

Semua soalan tidak berjawab.

Cuma Siti menggeleng bila saya tanya adakah dia ada dengar atau lihat sesuatu atau ada gangguan.

Kemudian saya panggil keluarganya. Kelihatan seorang perempuan yang sedang sarat mengandung menghampiri. Ibu Siti rupanya. Ayahnya ke balai polis sekejap membuat laporan bahawa Siti telah dijumpai.

Wanita mengandung yang wajahnya kelihatan akhir 30-an itu nampak sugul.

“Saya pun tak tau dah nak buat apa lagi doktor. Kalau dekat rumah dimarahnya kami semua. Adik beradik lain pun habis kena pukul. Kalau dia nak keluar pula tak boleh nak halang, kalau tak dia mengamuk teruk. Pagi tadi dia hilang sampai malam ni baru kami jumpa. Ubat dah sebulan tak makan. Bukan kami tak suruh, dia memang tak nak tak boleh nak paksa pun. Itulah dekat rumah selalu cakap seorang, ketawa sendiri,” beliau meluahkan apa yang terpendam.

“Sabar ye puan, anak puan sakit tu,”saya cuba menenangkan.

“Ye… saya faham dia sakit. Kalau tak, tak adalah saya bawa dia merata-rata untuk berubat. Tapi dia sendiri yang tak nak terima. Dia cakap dia bukan anak kami. Dia nak pergi rumah anak yatim. Tapi mana ada tempat yang nak terima dia doktor. Bila masuk wad mental, doktor cakap kami tekan dia. Bila jumpa doktor cakap kami tak faham dia, bila dia cakap dengan doktor dia elok je tapi dengan kami kasar sangat. Entahlah… Kadang sebab tu kami diam je bila jumpa doktor. Ikutlah apa yang Siti nak…” sesekali percakapan ibu pesakit tersebut terhenti, memejam mata dan menghela nafasnya… Berat…

“Baik puan, terima kasih. Nanti saya telefon hospital untuk rujuk Siti ke wad mental ye.”

Saya menjenguk pula Siti di dalam bilik yang lain.

“Siti dah makan?”

Dia menggeleng.

“Dari pagi belum makan apa-apa?”

Dia menggangguk pula.

Ketika itu sudah hampir jam satu pagi. Kedai di hospital juga sudah tutup. Tiba-tiba saya teringat buah epal makanan oncall petang tadi.

Saya balik ke bilik seketika.

“Nah, ambil ni Siti buat alas perut sikit.”

Siti ambil dan terus makan.

Kemudian saya jumpa kedua ibu bapanya di luar untuk memaklumkan Siti akan dirujuk ke hospital lain menaiki ambulans.

Si ayah bertanya, “Boleh saya bertolak dulu sekarang doktor? Sebab saya naik motor, tak ada kereta, ambil masa sikit.”

Perjalanan ke hospital yang dirujuk pula mengambil masa lebih kurang sejam jika menaiki motorsikal. Dan si ibu yang sarat mengandung pula turut sama-sama menaiki motor meredah keheningan malam.

……….

Antara ujian berat bila anak-anak dan ahli keluarga diuji dengan ujian sakit.

Lebih-lebih lagi berdepan penyakit mental yang tidak terzahir seperti penyakit-penyakit lain.

Namun kasih seorang ibu dan ayah tetap menguatkan si anak dan memberi motivasi.

Memberi rasa empati pula bukan mudah.

Doktor hanya merawat di klinik dan hospital. Ibu dan ayah pula setia disisi saat naik dan turun, saat sihat dan sakit.

Mungkin ini hikmah Allah untuk menguji , supaya diri ini ada rasa empati, sebagai si ibu yang sentiasa berdoa penuh pegharapan dan berusaha sepenuhnya demi kasih kepada anak tercinta, juga sebagai doktor yang merawat pesakit dengan pelbagai kisah dan latar belakang.

Empati ini untuk faham bila pesakit yang ter”miss” follow up di klinik sebab dah terlalu banyak follow up dan kekangan lain.

Empati ini untuk faham bila pesakit tak dapat datang ambik darah untuk full set BSP (periksa tahap gula dalam darah) sebab rumah jauh dalam kampung dan pernah jatuh motor langgar landak malam-malam masa balik dari hospital.

Empati ini untuk ibu-ibu yang selalu minta nak balik bila anak kuning kena duduk bawah lampu fototerapi sebab letihnya berpantang sendiri dalam wad.

Empati ini juga untuk ibu-ibu yang mempunyai anak sakit kronik yang berulang alik ke hospital berkorban masa, keringat, wang ringgit dan perasaan demi memastikan anakanda tercinta sihat.

InshaAllah terkandung hikmah di atas segala ujian.

Teruskan usaha dan berdoa dengan penuh pengharapan.

Dan kepadaNya kita bertawakal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here