Doktor Dedahkah Tipu Helah Tagih Simpati Pesakit Di Media Sosial

Doktor Dedahkah Tipu Helah Tagih Simpati Pesakit Di Media Sosial

Saya ada sebuah pengalaman, ketika di zaman HO, yang membuat saya terkesan sehingga sekarang.

Pesakit tersebut, mengalami kepatahan di satu anggota badan. Beliau memerlukan pembedahan untuk memasukkan plat besi. Pun begitu, sebagaimana pesakit-pesakit lain, adakalanya pesakit terpaksa menanggung sendiri kos pembelian plat besi tersebut. Harganya mencecah seribu ringgit lebih.

Ketika review, pesakit tersebut mengadu kepada saya bahawa beliau dari orang susah. Tidak mempunyai simpanan. Lalu beliau meminta agar saya mengeluarkan surat pengesahan penyakit dan bahawa beliau memerlukan pembedahan. Katanya untuk tujuan memohon bantuan

Saya yang ketika itu seorang H.O. yang naif, pun menulis sebuah memo tulisan tangan yang ringkas. Pesakit itu kemudiannya discaj, dan diberi tarikh untuk pembedahan dalam tempoh beberapa minggu.

Namun pesakit tersebut tidak datang ke wad pada tarikh yang diberikan.

Sehinggalah beberapa hari kemudian, saya dipanggil ke pejabat.

Rupanya pejabat menerima aduan dari orang ramai, bahawa ada pesakit menjaja surat memo yang saya tuliskan tersebut, meminta bantuan di sana sini. Hospital dikatakan mengabaikan pesakit, tidak memberi bantuan sewajarnya. Walhal pesakit sebenarnya sudah pun dirujuk ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP).

Saya diberikan teguran kerana mengeluarkan surat kepada pesakit sesuka hati.

Cerita belum habis di situ.

Hampir tiga minggu selepas itu, saya dapati pesakit tersebut dimasukkan semula ke wad. Saya pergi berjumpanya untuk mendapatkan penjelasan.

Pesakit tersebut, dimasukkan kembali ke wad kerana “fracture non union”, iaitu kawasan tulang patah, tidak bercantum semula. Seperti yang dijangka, kerana beliau tidak menjalani pembedahan seperti yang disarankan.

Rupanya pesakit tersebut, setelah mendapatkan bantuan belasan ribu ringgit dari pelbagai pihak dan orang ramai, pergi mendapatkan rawatan alternatif. Berjumpa bomoh patah situ dan sini, kemudian diberitahu tulang akan bercantum dengan sendirinya tak perlukan operation. Ke mana duit sumbangan tersebut digunakan? Wallahua’lam, saya tidak pula bertanya.

Namun beliau tetap tidak dapat menggunakan tangannya. Beliau mengalami kesakitan, dan apabila datang semula ke hospital dan kami xray, barulah nampak jelas herot di tangannya itu.

***

Sejak hari itu, saya menjadi agak skeptik apabila melihat iklan memohon sumbangan itu dan ini terutamanya di media sosial. Saya juga tidak lagi berani mengeluarkan surat sesuka hati ditujukan “kepada sesiapa yang berkenaan”.

Saya akan bertanya pesakit dengan jelas, kepada siapa bantuan hendak dimohon. Jika kepada zakat, saya akan tulis dengan jelas “Untuk kegunaan pihak zakat sahaja.” Manakala surat yang dikeluarkan, saya akan buat pendua dan simpan salinannya.

Di hospital, kita ada unit khas yang membantu pesakit terutamanya dari aspek kewangan. Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) boleh menawarkan pelbagai saluran yang ada, sesuai dengan latarbelakang sosial dan penyakit pesakit. Cumanya tentulah, adakalanya proses ini mengambil masa kerana bilangan kes yang banyak.

Ada di Facebook, kes pesakit membuat permohonan serentak ke JKSP namun dalam masa yang sama memungut derma di FB. Apabila sudah mendapat dana yang (lebih) mencukupi melalui FB, pesakit tetap berkeras mahukan bantuan dari JKSP juga. Alasan pesakit, “bantuan ini hak saya”.

Padahal tidakkah beliau sedar, selain beliau, ada puluhan lagi pesakit lain yang menunggu giliran bantuan JKSP tersebut?

Jikalau beliau sudah mendapat dana mencukupi hasil derma orang ramai, bukankah lebih elok bantuan JKSP tersebut disalurkan ke pesakit lain pula, terutamanya golongan warga emas sebatang kara atau keluarga miskin yang tidak tahu pun nak gunakan FB untuk mohon derma. Bukan setakat tidak tahu, kebanyakan pemohon bantuan ini, smartphone pun tidak ada!

Bukan itu sahaja, ada ibubapa yang memviralkan gambar anak mereka sedang diberi rawatan nebulizer. Sungguh kasihan melihat anak tersebut. Simpati netizen ditagih. Di hujung caption gambar, diletakkan nama bank dan nombor akaun. Walhal rupanya, anak beliau dirawat untuk Acute Bronchiolitis yang biasa sahaja.

Dan ada juga kes, yang pesakit sendiri tidak mahukan rawatan, tidak mahukan prosedur. Kemudian discaj AOR (atas risiko sendiri), tidak datang temujanji atau rujukan pakar. Tengok-tengok muncul gambar terlantar di rumah, dengan caption seperti “penyakit misteri”, “doktor di hospital sudah tidak tahu rawatan apa.”

Kami di hospital, sudahlah tentu tahu “kisah sebenar”. Tapi tidaklah kami boleh sesuka hati komen dan kantoikan pesakit, kerana itu sudah melanggar peraturan dan kerahsiaan pesakit.

Kita benar-benar menghargai keprihatinan anggota masyarakat untuk membantu. Namun dalam masa yang sama kita khuatir, kerana adakalanya bantuan tersebut tidak mencapai sasaran yang kita mahukan, adakalanya menjadi peluang mengambil kesempatan pula.

Pernah viral sebulan dua ini, mengenai kes ada individu menyamar membuat akaun FB palsu, mencuri gambar anak orang lain yang sakit, kemudian di postkan dengan butir akaun bank sendiri bagi tujuan mengaut keuntungan atas simpati orang ramai.

Kes tersebut ada dikupas di sini : http://says.com/…/akaun-penipu-muhammad-amirul-minta-derma-…

Habis, macam mana boleh kita bantu pesakit?

Saya tak nafikan, adakalanya kita dihurung beberapa kerenah birokrasi yang menyebabkan bantuan terutamanya kewangan lambat sampai ke tangan orang yang memerlukan. Adakalanya keterbatasan dan kelemahan kita di pihak pengurusan sendiri menjadi kekangannya.

Namun bagi orang awam, yang berniat menyumbang kepada orang sakit, ada beberapa pesanan yang perlu saya sampaikan,

1. Pastikan kesahihan kes orang yang dibantu tersebut. Dapatkan sendiri pengesahan terkini dari hospital, atau bahkan jika pesakit masih di wad, pergi lawat sendiri pesakit.

Adakalanya lebih afdhal kita membantu orang yang memang kita sendiri kenal, seperti jiran atau rakan atau bahkan keluarga sendiri. Malah ini yang lebih dituntut disisi Islam, iaitu bantu orang yang terdekat dahulu sebelum yang jauh.

2. Hulurkan bantuan melalui orang tengah yang dipercayai. Ada banyak pihak yang menawarkan kerja sukarela, menjadi pemudahcara kepada orang yang menyumbang, dengan penerima sumbangan. Saya sendiri, ada berhubung dengan Cikgu Ghani yang tidak putus-putus menerima dan memberi bantuan khususnya kepada orang sakit.

3. Cuba untuk sentiasa follow up dengan keadaan pesakit. Telefon ibubapa atau pesakit sendiri, tanya bagaimana keadaannya. Adakah ada lagi bantuan diperlukan. Apa progress yang dimaklumkan doktor pada temujanji terkini.

4. Saya secara peribadi sering berpesan, kita hulurkan bantuan apa yang pesakit perlu, bukannya apa yang pesakit mahu. Atas sebab itulah apabila ada rakan-rakan yang bertanya bolehkah mereka menyumbang kepada pesakit melalui saya, saya akan menolak sumbangan wang ringgit bulat-bulat.

Sebaliknya saya akan maklumkan, “oo kita ada pesakit strok perlukan tilam ripple mattress.” Jadi kita akan belikan untuk pesakit. Bukannya bagi duit minta pesakit beli sendiri.

Amalan bantu-membantu, amalan yang mulia. Namun ianya menjadi lebih-lebih mulia apabila bantuan yang kita berikan, benar-benar mencapai sasarannya, dan lebih ramai yang mendapat manfaatnya.

Dan dalam masa yang sama, kita perlu berhati-hati atas kewujudan pihak-pihak yang gemar mengambil kesempatan. Hanya Allah sahaja yang akan membalas perbuatan tidak bermoral seperti ini.

Sumber gambar dari laman says.com dari pautan di atas.

Dr. Mohd Syamirulah Rahim
Pegawai Perubatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here